Umum

100,000 peluang kerja antara tawaran PN kepada rakyat Kedah

Perikatan Nasional (PN) menawarkan sehingga 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing di Kedah dalam tempoh 30 tahun.

Peluang pekerjaan yang bakal disediakan melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuk Kedah Rubber City (KRC), Kedah Aerotropolis, Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (SBEZ), Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) antara 17 tawaran dalam manifesto PN kali ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor berkata, 17 tawaran PN Kedah itu merupakan kesinambungan daripada pentadbirannya sebelum ini.

“Kita akan jayakan ‘The Greater Kedah’ selaras dengan Kedah sebagai tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti,” katanya pada pelancaran Tawaran PN Kedah disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Jelajah Mega PN Best, malam tadi.

Selain itu, gabungan itu juga berjanji akan menyediakan lot tanah kediaman mampu milik bagi rakyat negeri itu yang berpendapatan rendah serta meneruskan proses kelulusan permohonan hal milik tanah yang telah tertunggak sejak sekian lama.

Pada masa yang sama PN menawarkan penyediaan 15,000 rumah kos rendah dan mampu milik menjelang 2030 serta membaik pulih 1,000 unit rumah golongan asnfa serta kurang mampu setiap tahun.

Berkait isu air yang sudah berlarutan sekian lama, PN berjanji akan menyelesaikan isu berhubung pembekaln air bersih di Kedah secara menyeluruh serta mengurangkan kadar air tidak terhadil kepada 25% menjelang 2037.

PN juga akan memastikan komitmen pelaburan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai projek berimpak tinggi masuk ke negeri itu dengan sasaran RM10 bilion setahun.

Tidak dilupakan, PN bakal menjadikan Kedah sebagai hub mega pengeluaran makanan di negara ini dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini serta meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan melalui inisiatif yang holistik dan mengembangkan industri hiliran berasaskan hasil pertanian dan perikanan bernilai tinggi.

Pada PRN kali ini, PN bertanding di kesemua 36 kerusi DUN Kedah dengan PAS 21 kerusi, Bersatu 12 dan Gerakan 3 kerusi.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top