Umum

11 buah rumah rosak teruk dipukul puting beliung di Guar Sanji, Perlis

Gambar FB Pusat Khidmat DUN Guar Sanji

Sebanyak 11 rumah rosak teruk termasuk 6 buah rumah musnah keseluruhan selepas dibadai puting beliung di Kampung Padang Besar, Guar Sanji di sini pada petang Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim berkata, seramai 35 mangsa kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudara mereka yang berdekatan.

Menurutnya, kejadian pada jam 2.30 petang Ahad itu menerbangkan bumbung dan merosakkan harta benda penduduk sehingga mengakibatkan rumah rosak teruk.

Kejadian berlaku dengan pantas apabila pusaran angin kencang menerbangkan bumbung 11 buah rumah dalam kejadian tersebut.

Menurut laporan media, Mohd Ridzuan berkata “6 daripadanya rosak teruk dan melibatkan seramai 35 orang mangsa. Tiada mangsa cedera dilaporkan dalam kejadian tersebut.”

Jelasnya, kejadian tersebut bakal dirujuk kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Ridzuan yang turut turun ke lokasi kejadian diiringi Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) kampung Padang Besar, Zainul Abidin.

Hadir sama, wakil Ahli Parlimen Arau, wakil Muslimat DUN Guar Sanji dan Penyatuan Ummah yang tampil memberikan sumbangan sebagai tanda kebersamaan menghadapi ujian.

PALING POPULAR

To Top