Umum

2 kem dalam parti, perjanjian dibuat untuk kekalkan Mat Sabu sebagai presiden Amanah

Gambar Mohamad Sabu

Sumber mendedahkan bahawa terdapat 2 perjanjian yang dibuat oleh Mohamad Sabu bagi beliau terus kekal sebagai presiden Amanah untuk penggal ketiga dan terakhir dalam pemilihan parti itu pada minggu lalu.

Menurut laporan FMT, sumber yang merupakan seorang pemimpin parti yang enggan dikenali berkata perjanjian pertama adalah untuk membenarkan Mujahid Yusof Rawa, yang telah dipilih sebagai timbalan presiden dan kemnya menguasai barisan kepimpinan serta untuk melantik ketua-ketua negeri.

Katanya lagi, perjanjian kedua adalah untuk Mujahid menggantikan Mohamad pada hujung tempoh penggal kepimpinan beliau pada 2026.

Sumber itu turut dilaporkan berkata, semua ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin itu susulan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan 18 daripada 27 jawatan barisan kepimpinan kebangsaan yang dipilih, mempunyai kaitan dengan bekas menteri agama itu.

“Perjanjian ini dibuat untuk mengelak perbalahan antara kedua-dua kem,” kata sumber.

Komen sumber itu secara tak langsung mengesahkan khabar angin bahawa Amanah berpecah kepada dua kem, satu yang menyokong Mohamad dan satu lagi menyokong Mujahid, walaupun mereka menafikan dakwaan tersebut.

Pada Ahad lalu, Mohamad dipilih oleh 27 pemimpin tertinggi parti untuk terus kekal sebagai presiden Amanah bagi sepenggal lagi selepas menduduki tempat kelapan dengan memperoleh 613 undi dalam pemilihan parti.

Mujahid pula dilantik sebagai timbalan presiden selepas mendapat tempat keempat dengan memperoleh 699 undi.

 

 

PALING POPULAR

To Top