Masih hangat dibahaskan di media sosial berkaitan pernikahan pasangan pelakon terkenal Sabri Yunus dan Angeline Tan dengan masih adanya pihak yang mempertikaikan kesahihannya.
Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang menikahkan pasangan itu telah menegaskan bahawa akad nikah itu sah dan sudah memberi responsnya berhubung perkara itu.
Malangnya, masih ada yang meragui status perkahwinan tersebut kerana mendakwa ijab dan qabul yang tidak menyebut ‘Saya terima nikahnya’ adalah tidak sah.
Perbahasan itu turut dihuraikan secara mendalam menerusi penulisan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang diterbit di laman web Maktabah Albakri.
Dijelaskan dalam penulisan tersebut bahawa ucapan balas atau jawapan pengantin lelaki sama ada ‘Aku terima’ atau ‘Aku reda’ sudah memadai dan mencukupi dan menjadikan perkahwinan itu dikira sah.
Demikianlah pandangan jumhur ulama dan satu pendapat dalam Mazhab Syafie.
Diterangkan lagi, “Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya,”
“Maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali atau merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.”
Beliau tidak menafikan bahawa ucapan ‘Aku terima nikahnya’ atau ‘Aku reda nikahnya’ dan seumpamanya adalah lebih baik dan terkeluar daripada khilaf.
Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan umat Islam berada dibawah pentadbiran Jabatan Agama dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing.
“Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada JAIN masing-masing,” katanya.