AirAsia mengumumkan satu perubahan dasar penting apabila kini membenarkan kru kabin wanita untuk memakai tudung ketika bertugas, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap kepelbagaian, keselesaan dan keterangkuman dalam operasinya di peringkat global.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, AirAsia memaklumkan bahawa polisi uniform kru kabinnya telah dikemas kini bagi memberi pilihan kepada pramugari untuk mengenakan hijab mengikut keselesaan dan kepercayaan masing-masing.
Menurut AirAsia, perubahan tersebut adalah hasil maklum balas berterusan daripada kakitangan serta mencerminkan budaya kerja syarikat yang sentiasa berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan AirAsia, Bo Lingam, berkata pihaknya berbangga dengan penambahbaikan ini kerana ia menyokong pertumbuhan AirAsia sebagai sebuah jenama global yang mewakili kepelbagaian budaya.
“AirAsia berbangga untuk mewujudkan persekitaran kerja di mana setiap Allstar berasa yakin, selesa dan berbangga untuk mewakili syarikat ini di mana sahaja mereka terbang.
Uniform kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan. Evolusi ini dibina atas asas itu dengan memberi keyakinan kepada kakitangan yang selari dengan kepercayaan mereka,” katanya.
Sebelum ini, pemakaian tudung hanya dibenarkan di laluan tertentu seperti Jeddah, selaras dengan keperluan peraturan tempatan. Namun, dasar baharu ini memperluaskan fleksibiliti tersebut kepada semua kru kabin wanita di seluruh rangkaian penerbangan AirAsia.
Ini bagi memastikan keseragaman polisi di samping mengekalkan identiti profesional jenama AirAsia.
Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan, berkata dasar baharu itu mencerminkan semangat dinamik dan kepelbagaian dalam kalangan kakitangan syarikat penerbangan berkenaan.
“Allstars kami datang daripada pelbagai latar belakang, budaya dan pegangan, namun kami disatukan oleh komitmen untuk memberikan perkhidmatan dan layanan bertaraf dunia kepada para penumpang.
Kami akan terus mengumpul maklum balas daripada Allstars serta bekerjasama rapat dalam aspek reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya. Kami menyasarkan untuk memulakannya pada Ramadan 2026,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, menegaskan kepentingan mendengar suara kakitangan dalam membuat sebarang perubahan dasar.
“Menghormati perbezaan pandangan dan kepercayaan bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, malah ia telah membentuk kejayaan AirAsia selama ini.
Inilah cara kami terus berkembang dengan berevolusi berdasarkan maklum balas daripada kakitangan,” katanya.
AirAsia turut mengekalkan uniform ikonik berwarna merah, yang kini akan dipadankan dengan tudung dan seluar rekaan baharu, berdasarkan gaya yang digunakan oleh kru penerbangan bagi laluan AirAsia ke Jeddah.
Naik taraf itu turut mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan serta konsistensi identiti jenama di seluruh operasi penerbangan.
