Buletin

Pemimpin Umno yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu berundur atau disingkirkan

“UMNO berada di atas landasan yang betul, tetapi masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya,” itu adalah ucapan dan rencana Tun Abdul Hamid Mohamad semenjak tahun 2012, iaitu dua tahun sebelum PRU-14 secara konsisten.

Tambahan beliau, Untuk pulih semula UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir.

Antara nama yang disebut secara terus terang oleh beliau adalah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Penyokong-penyokong mereka, terutama sekali orang-orang DS Zahid, sangat marah kepada saya dan mengutuk saya, khususnya keadaan fizikal saya yang uzur itu. Saya tidak kisah,

“Saya memuji DS Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO. Saya juga memuji DS Zahid kerana bercuti apabila beliau dituduh di mahkamah,” ujarnya.

Kebetulan dalam tempoh beberapa bulan itu, apabila DSU (Datuk Seri Utama) Mohamad Hassan memangku jawatan Presiden UMNO dari 20 Disember 2018 ke 30 Jun 2019,  BN, tegasnya UMNO, memenangi tiga pilihan raya kecil secara berterusan.

Tiga pilihan raya kecil tersebut adalah PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari,  PRK DUN N.24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac PRK DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan, pada 13 April.

Justeru, beliau menegaskan untuk UMNO berubah, Zahid Hamidi perlu berundur ataupun disingkirkan.

Ia agak sedikit lega bagi beliau sebelum ini apabila melihat UMNO semakin pulih. Namun, apabila melihat perkembangan Zahid Hamidi yang kembali semula memegang teraju UMNO dan Najib Razak, pula dibawa balik sebagai Penasihat UMNO.

Beliau melihat ini sebagai tanda UMNO tidak akan berubah.

Apa yang beliau lihat, Najib Razak dan Zahid Hamidi ini seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli MKT menurut perancangan mereka.

Pada masa yang sama, keputusan PRN Melaka yang di luar dugaan itu menyebabkan saya menulis, antara lain:

“Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser yang merebak dari dalam.

‘’Pemimpin-pemimpin UMNO juga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dalam PRU 14.

Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi Zahid Hamidi. Ia adalah in spite of him. Ini kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia.

Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara semenjak Merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah.

Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang tabir. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka perolehi daripada UMNO selama ini. Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik “Hidup Bossku” sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.”

Seorang bekas Ahli MKT UMNO menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak mempedulikan saya kerana saya sudah bedridden. “Apa yang dia tulis ni aku pun tak pasti ini Tun Hamid tulis ker atau macai mana yang tulis, kan?

Dia bedridden, bila masa dia tulis? Dari dia punya otak dia tu, tak tau nak cakap apalah. Dia memang pro, nampak gaya memang pro kepada Muhyiddin dan dia tak boleh fikir bahawa Zahid Hamidi dituduh di mahkamah kerana apa, kerana dia tak nak membubarkan UMNO, kalau dia membubarkan UMNO dia tak didakwa sampai 80 lebih pertuduhan.”

Tidak mengapa, saya tidak mahu menjawabnya. Saya tidak akan turun ke tingkat itu. Biarlah pembaca berfikir sendiri.

Saya cuma hendak mengemukakan satu soalan kepada pemimpin UMNO tersebut. Jika itulah sebabnya Zahid Hamidi dituduh, mengapa dari awal lagi Zahid Hamidi tidak menggunakan alasan itu untuk membuat permohonan mengenepikan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya atau membangkitkan isu itu dalam soal balas saksi-saksi pendakwaan untuk membolehkannya membangkitkan alasan itu dalam pembelaannya jika dan apabila beliau dipanggil membela diri?

Biar apa pun, Zahid Hamidi telah dipanggil membela diri dalam 47 pertuduhan, iaitu 12 pertududuhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), lapan pertuduhan di bawah seksyen 16 (a)(B)  Akta SPRM (rasuah) dan 27 pertuduhan money-laundering. Ertinya, berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Maka, terserahlah kepada beliau untuk membela dirinya.

Pada masa yang sama, DUN Johor telah dibubarkan dan kemungkinan PRU 15 diadakan dalam masa yang terdekat semakin kuat. Pas tidak boleh diharap untuk berganding bahu dalam menghadapi PRN Johor dan PRU 15.

Sebab-sebabnya saya telah beri dalam “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU 15” (22 11 2021). Maka, UMNO perlu menghadapinya sendirian.

UMNO boleh merasa lega dengan keputusan PRN Melaka itu dan mengharapkan ia akan berulang di Johor. Tetapi, ada faktor-faktor lain yang mungkin menjadi penghalang. Pertama, Johor adalah negeri Tan Sri Muhyiddin. Pengaruhnya tentu masih ada, cuma kita tidak tahu setakat mana kuatnya.

Kedua, ini kali pertama pengundi-pengundi 18 tahun hingga 21 tahun akan mengundi. Kita boleh meneka dengan yakin pengundi-pengundi muda keturunan Cina akan bersepadu mengundi calon DAP dan PH. Tetapi, perkara seperti itu tidak mungkin berlaku kepada pengundi-pengundi muda Melayu: undi mereka akan berpecah, paling kurang kepada empat kumpulan, mungkin lebih.

Pertama, ada yang idealistik yang merasa mereka lebih pandai daripada semua penjawat awam dan hendak mengubah dunia. Mereka mungkin tertarik dengan parti MUDA yang juga berpusat di Johor.

Kedua, ada sekumpulan yang menggelar diri mereka liberal, yang tidak mahu dikenali sebagai Melayu lagi dan telah lupa daratan walaupun hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi.

Mereka ini tentu akan mengundi PH “untuk menentang politik rasis, merobohkan sistem feudal yang lapuk dan mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih adil (fair) kepada semua orang tanpa mengira kaum.”

Ketiga, ada satu kumpulan yang taksub dengan jenama Islam, sedangkan isinya tiada apa beza dengan yang lainnya. Mereka akan mengundi Pas dan PAN.

Keempat ialah kumpulan yang merasa terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO  yang telah mengubah nasib datuk dan ibu bapa mereka hingga membolehkan keluarga dan diri mereka berada di mana mereka berada sekarang. Mereka tahu UMNO tidak sempurna tetapi, sekurang-kurangnya, ia mempunyai track record yang boleh menjadi asas ukuran. Mereka ini akan mengundi UMNO/BN.

Faktor yang akan amat sangat mempengaruhi golongan muda ini adalah perkataan  “rasuah”, “penyalahgunaan kuasa” dan “integriti”.

PH akan menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai senjata paling tajam mereka terhadap UMNO dan golongan muda  akan termakan dengannya. Sekarang pun PH telah memulakan perang urat saraf itu, dengan membesar-besarkan tuduhan tehadap Azam Baki.

Bagi saya, inilah faktor utama yang, jika tidak ditangani dengan tegas, akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pemerintahan PH.

Maka, UMNO tidak ada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Ia mesti rehatkan pemimpin-pemimpinnya yang terlibat atau terpalit dengan rasuah.

Najib Razak dan Zahid Hamidi mestilah berundur atau direhatkan.

Diharapkan Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 ini akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum PRN-Johor dan PRU-15. Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top