Selepas tular video Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan RTM semalam, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri bergelar banduan itu dibenarkan membuat rakaman video di dalam premis penjara.
Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada apa-apa rakaman video yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak telah dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti mana yang ditularkan.
Menurut Jabatan Penjara Malaysia, hasil semakan menunjukkan video yang tular tersebut telah dirakam lebih awal oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia iaitu sebelum Najib dipenjarakan.
“Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.
Namun, isu yang ditimbulkan bukan berhubung sama ada Najib dibenarkan membuat rakaman dalam penjara tersebut, sebaliknya isu yang timbul bagaimana sebuah agensi penerangan memberi ruang siaran pada ketika negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Waktu penyiarannya menjadi pertikaian kerana Najib sudah meringkuk dalam penjara dan tidak dibenarkan berkempen semasa tempoh PRU-15 berjalan.
Sehubungan itu, JPM meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.
“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya merujuk pautan sebahagian rakaman program berkenaan.