Ketua Hakim Tengku Maimun berkata boleh siasat hakim tetapi perlu ada adab dan perlu berunding atau minta kebenarannya dahulu, merujuk kepada siasatan SPRM ke atas hakim Nazlan.
Maafkan saya jika tersinggung, tetapi saya tidak setuju dengan apa yang Ketua Hakim Tengku Maimun kata ini. Sebab jika hakim itu penjenayah, tidak perlu adab untuk menangkapnya, hanya perlu ikut prosedur seperti yang dikenakan ke atas orang lain.
Untuk kita tangkap pencuri, kita tidak perlu beri salam tidak kiralah jika pencuri itu seorang hakim.
Ketua Hakim tidak boleh paksa cabang Eksekutif untuk berunding atau meminta kebenaran beliau untuk penguatkuasa undang-undang menyiasat seseorang hakim yang disyaki melakukan jenayah.
“Protokol” seperti ini tidak ada dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang apabila ia melibatkan isu jenayah hakim dan bukannya isu etika.
Di negara-negara lain termasuk di England dan Amerika Syarikat, jika hakim buat jenayah, pihak berkuasa boleh siasat, tahan dan dakwa hakim tersebut tanpa minta kebenaran atau berunding dengan Ketua Hakim.
Jika pihak berkuasa perlu minta kebenaran atau berunding dengan Ketua Hakim untuk menyiasat dan mendakwa hakim yang melakukan jenayah, ini tidak kena dengan prinsip pengasingan kuasa dan semak imbang antara Eksekutif, Kehakiman dan Parlimen.
Contohnya, tidak masuk akal untuk pihak polis atau SPRM meminta kebenaran Ketua Hakim sebelum menangkap, menyiasat dan mendakwa hakim yang membunuh atau mengambil rasuah.
Di samping untuk mengelakkan bias rakan sekerja, ini juga kerana tugas hakim dan ketua hakim adalah untuk menghakimi kes, bukan untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa, itu bukan tugas hakim, itu tugas penguatkuasa undang-undang seperti polis dan SPRM.
Oleh sebab itu penguatkuasa tidak perlu minta kebenaran hakim untuk siasat suspek yang mana tugas ini bukanlah di bawah bidang kuasa hakim.
Jika tidak dan jika penguatkuasa perlu minta kebenaran atau berunding dengan ketua hakim untuk siasat seseorang waima hakim lain seperti di atas, maka kuasa untuk menyiasat, mendakwa dan menghakim akan semuanya terletak di tangan badan kehakiman dan dengan ini tiadalah semak imbang.
Dan hakim yang disyaki melakukan jenayah tidak terkecuali dari prosidur siasatan yang dikenakan ke atas orang lain, mereka tidak ada imuniti atau keistimewaan dalam perkara-perkara jenayah. Tiada orang yang berada di atas undang-undang, ini termasuklah hakim.
Apabila seseorang hakim melakukan jenayah, ia bukanlah soal etika kerja yang boleh dibawa ke tribunal sesama hakim, ia perlu disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis atau SPRM bukan pergi ke tribunal sesama hakim. Saya pernah tulis panjang lebar berkenaan hal ini dulu.
Meminta supaya pihak berkuasa berunding dengan ketua hakim sebelum pihak berkuasa menyiasat hakim samalah seperti jika Speaker Dewan Rakyat meminta pihak berkuasa berunding dengannya dahulu sebelum menangkap ahli Parlimen, atau berunding dengan Perdana Menteri dulu sebelum menangkap menteri. Ini tidak masuk akal.
Saya gesa Ketua Hakim supaya tidak membuat penghakiman yang dilihat menegak benang yang basah.
Ini bukan soal perundangan, ini soal dasar awam dan logik akal. Rakyat memerhati dan jika badan kehakiman dilihat bias, ini tidak baik ke atas keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan negara. Sebab jika rakyat hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman, maka undang-undang akan sukar ditegakkan.
Salam.
Isham Jalil
25 Februari 2023
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang disiarkan dalam laman Fecebooknya pada 25 Februari 2023. Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.