Umum

Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

Seorang lelaki yang dipercayai merogol anak tirinya berusia 16 tahun sehingga mendorong remaja berkenaan melarikan diri baru-baru ini bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun akan berdepan 32 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek sejak tiga tahun lalu.

Katanya, arahan pertuduhan telah diperolehi daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) selepas siasatan selesai dilengkapkan manakala isterinya yang sebelum ini turut ditahan tidak didakwa dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

“Kes ini telah dirujuk kepada PPN dan arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan pada esok iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) KK.

“Suspek yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu juga akan didakwa bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, lapan lagi pertuduhan terhadapnya akan turut dilakukan di bawah Seksyen 377 CA KK kerana melakukan hubungan seks menggunakan objek.

Katanya, siasatan awal mendapati remaja itu telah menjadi mangsa rogol ayah tirinya itu sejak tahun 2020 lagi.

“Kejadian dipercayai berlaku di rumah mereka yang mana suspek telah merogol mangsa dalam keadaan tidak rela dan semasa kejadian, ibu kandung remaja itu sedang tidur di dalam bilik tidur,”tambahnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, bapa tiri serta ibu kandung mangsa yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).

Pasangan itu dipercayai terlibat dalam kejadian merogol anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

Perbuatan terkutuk suspek yang dipercayai turut diketahui isterinya itu terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri selama 18 hari memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top