Umum

AS tuduh penyanyi rap melobi secara haram bersama Jho Low

Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menuduh penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel “Pras” Michel dari kumpulan hip hop The Fugees selepas secara haram mengambil puluhan juta dolar untuk melobi kerajaan negara itu bagi pihak ahli perniagaan Low Taek Jho dan kerajaan China.

Tuduhan itu dibuat pada permulaan perbicaraan yang menurut pendakwa raya Nicole Lockhart akan mengaitkan Michel dengan pembiaya Jho Low, yang disyaki menggelapkan AS$4.5 bilion (RM19.90 bilion) daripada dana kekayaan negara 1MDB, dan kempen kerajaan China bertujuan membawa pulang penentangnya Guo Wengui.

Michel dibicarakan atas 11 pertuduhan jenayah termasuk pelbagai pertuduhan konspirasi untuk apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai tiga skim lobi berasingan untuk mempengaruhi pentadbiran bekas presiden Barack Obama dan Donald Trump.

Michel bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan tersebut.

“Ini adalah kes mengenai wang asing, pengaruh dan penyembunyian,” kata Lockhart sewaktu kenyataan pembukaannya di Washington pada Khamis. 

Lockhart memberitahu juri kes itu akan menyerlahkan “muslihat politik, rundingan sulit… talian sementara dan penipuan.”

The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy bagi album terlaris mereka pada 1996, “The Score”.

Namun menjelang 2012, pendakwa raya berkata, Michel sangat memerlukan wang tunai, dan beliau menemui penyelesaian kepada masalahnya melalui Low, yang diketahui membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya.

Dalam skim pertama yang didakwa, pendakwa raya berkata Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012.

Disebabkan undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada memberi sumbangan politik kepada kempen AS, pendakwa raya berkata Michel menyembunyikan sumber dana dengan menggunakan pihak ketiga.

Sebagai pertukaran untuk membantu Low, kerajaan berkata Michel mengaut AS$18 juta.

“Melalui skim ini, defendan menipu kempen Obama,” kata Lockhart kepada juri.

Beberapa tahun kemudian, pendakwa raya berkata tumpuan kempen melobi Michel beralih, apabila Jabatan Kehakiman AS memperhebat siasatannya terhadap Low berhubung penyelewengan yang disyakinya melebihi AS$4.5 bilion daripada 1MDB.

Low “memerlukan jenis bantuan berbeza,” kata Lockhart, sambil menambah bahawa beliau membayar Michel berjuta-juta dolar lebih untuk cuba “mendapatkan pengaruh di peringkat tertinggi kerajaan AS” yang akan membatalkan siasatan. 

Michel dan Elliott Broidy, bekas pengerusi kewangan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, dan konspirator lain dituduh melancarkan kempen “saluran gelap” bagi meyakinkan pentadbiran Trump untuk menarik balik siasatannya terhadap Low. 

Pendakwa raya berkata mereka juga cuba melobi pentadbiran Trump atas arahan China untuk mengembalikan ahli perniagaan China yang dalam buangan, Guo Wengui ke China. 

Untuk kerjanya dalam dua kempen melobi ini bagi pihak Low dan China, pendakwa raya berkata Michel dibayar AS$70 juta. 

Pendakwa raya juga berkata Michel gagal mendaftar sebagai ejen asing seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Kemudian, selepas mengetahui beliau sedang disiasat atas tuduhan jenayah, pendakwa raya berkata Michel cuba menghalang siasatan dengan menghubungi saksi serta menghantar surat tuntutan kepada penderma daripada kempen 2012 yang mengancam mereka dengan tuntutan mahkamah jika mereka tidak membayar balik dana. 

Guo sejak itu didakwa atas tuduhan penipuan AS yang tidak berkaitan.

Low kekal sebagai orang dalam buruan bagi kes Michel.

Beliau juga berdepan tuduhan jenayah AS secara berasingan kerana bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram berbilion-bilion daripada 1MDB. 

Pada 2019, Jabatan Kehakiman memperoleh penyelesaian sivil yang berasingan daripada tindakan jenayah terhadap Low, dan beliau bersetuju untuk memulangkan aset bernilai kira-kira AS$1 bilion.

Broidy mengaku bersalah atas peranannya pada Oktober 2020, tetapi Trump memberinya pengampunan penuh sebelum kalah dalam pemilihan presiden. 

Pasukan pembelaan Michel pada Khamis memilih untuk menangguhkan kenyataan pembukaan mereka sehingga selepas pendakwa selesai memfailkan kes mereka.

Peguamnya dijangka berhujah bahawa Michel tidak mengetahui yang dirinya bertindak sebagai ejen asing dan percaya beliau melakukan untuk kepentingan AS. 

Kes itu dijangka menampilkan keterangan daripada saksi terkemuka yang mungkin termasuk pelakon Leonardo DiCaprio, serta bekas pegawai tertinggi ketika pentadbiran Trump.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top