Umum

Bedah siasat Zayn Rayyan Abdul Matiin, terdapat pergelutan, maut dicekik

Gambar Kosmo

Mengikut perkembangan, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai maut dicekik oleh pembunuhnya di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, hasil bedah siasat mendapati Zayn Rayyan yang berusia 6 tahun, telah bergelut dengan pembunuhnya.

Mohd Suhaily turut mendedahkan, bedah siasat yang dijalankan mendapati kesan kecederaan pada leher mangsa yang konsisten dengan kesan dicekik.

“Apa yang pasti mangsa kematian mangsa bukan akibat lemas di lokasi kejadian tetapi dicekik selain luka lain yang dialaminya untuk mempertahankan diri.

“Untuk menjaga maruah arwah dan keluarga setakat itu sahaja saya boleh cakap,” katanya kepada pemberita di IPD Petaling Jaya pada hari Khamis.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui.

“Kami masih menjalankan siasatan berkemungkinan suspek terdiri daripada penduduk setempat, kami masih melihat perkara itu,” katanya

Lokasi penemuan mangsa juga dipercayai tidak selalu dikunjungi orang ramai.

“Berkemungkinan suspek yang terlibat ini tahu tentang lokasi berkenaan, jadi siasatan kita akan jalankan semula di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Pihak polis memandang serius jenayah kejam ini dan akan berusaha menjejaki suspek terlibat,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top