Umum

Bekas CEO automotif didakwa terima suapan RM5 juta

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menerima suapan RM5 juta, dua tahun lalu.

Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, yang memakai kot biru, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima suapan RM5 juta daripada seorang lelaki berusia 48 tahun, melalui Akaun Hong Leong Islamic Bank milik sebuah firma guaman atas arahan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun.

Ia sebagai upah untuk dirinya kerana telah membantu Syarikat Aspire Knowledge Sdn Bhd mendapat surat persetujuan penganugerahan (LOA) berjumlah RM12 juta bagi tujuan menjalankan ‘Service Provider For MARii’s Employalibity And Re-Training Local Talent (ERT) Programme’ daripada Syarikat A2Z Technology Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari kepada The Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

Kesalahan didakwa dilakukan di Hong Leong Islamic Bank Berhad, Seksyen 15, di sini pada 8 Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam, Rahmat Hazlan yang mewakili tertuduh tidak membantah cadangan tersebut.

Rozilah kemudiannya membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebagai mana cadangan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Jun depan untuk pengurusan kes.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top