Umum

Jaclyn Victor menjuarai All Stars Gegar Vaganza

Gambar Awani

Selepas 12 minggu beraksi di pentas All Stars Gegar Vaganza (ASGV), gelaran juara akhirnya dimenangi oleh Jaclyn Victor.

Persembahan mantap Jaclyn menerusi lagu When You Believe dan Sandarkan pada kenangan berjaya memenangi hadiah wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Sebagai juara, Jaclyn turut berjaya membawa pulang pakej percutian ke Switzerland sumbangan Kaki Jalan, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London, dan baucer dekorasi ruangan sumbangan Ritz Reka.

Sementara itu, tujuh finalis ASGV membawa pulang pakej percutian sumbangan Kaki Jalan, wang tunai bernilai RM10,000 dan Trofi Gegar Vaganza.

Konsert akhir All Stars Gegar Vaganza yang dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli M.S sebagai juri tetap dan ditemani Ratu Rock Negara, Ella selaku juri jemputan.

Antara selebriti yang hadir memeriahkan penutup konsert ASGV adalah Amir Ahnaf, Anna Jobling, Aina Abdul, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdilah, dan Cakra Khan.

Berlangsung selama tiga jam setengah, pentas akhir ASGV menutup tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas berlangsung di Auditorium MBSA selama 11 minggu.

PALING POPULAR

To Top