Umum

Dijanjikan jawatan tinggi, Abdul Wahab sahkan merakam

Gambar Sinar Harian

Penolong pegawai di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, telah mengesahkan bahawa perbualan video yang tular kebelakangan ini telah dirakam olehnya, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr H untuk berbuat demikian.

Ketika sidang media, Abdul Wahab menyatakan, Mr H merupakan antara individu berjawatan tinggi dalam J-KOM yang turut menjanjikan jawatan tinggi dalam J-KOM sekiranya membantu untuk merakam perbualan video bersama Mohammad Agus.

“Sekitar November 2023 saya berjumpa Mr H di pejabat beliau. Bermula daripada situ beberapa pertemuan di aturkan Mr H termasuklah saya dibawa ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan hotel sekitar kuala lumpur untuk berjumpa dengan individu-individu yang di sebut oleh Mr H sebagai berpengaruh.

“Semasa pertemuan saya dengan Mr H, saya telah diberitahu kononnya beliau telah mendapat info daripada pihak tertentu bahawa Mohammad Agus terlibat di dalam aktiviti yang tidak bermoral.

“Mr H turut meyakinkan saya bahawa beliau disokong oleh beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Mohammad Agus di mana Mr H menunjukkan kepada saya perbualan Whatsapp beliau bersama beberapa individu berpengaruh yang menyokong beliau,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Abdul Wahab bagaimanapun cuba menjelaskan bahawa video asal dirakam tanpa audio dan terkejut apabila mendapati rakaman video tersebut telah disebarkan menerusi satu akaun Facebook.

Katanya, “lebih mengejutkan lagi, rakaman video tersebut telah disunting dan diedit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan teknik ‘voice over’ bagi menunjukkan seolah-olah saya dan Datuk terlibat di dalam aktiviti yang jelek dan tidak bermoral.”

Pada hari Khamis, telah tular di media sosial rakaman perbualan video antara Datuk Dr Mohammad Agus dan Abdul Wahab yang mengandungi audio perbualan yang mempunyai unsur-unsur tidak senonoh.

“Saya ingin menegaskan bahawa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka dan tidak benar,” ujarnya.

Menurutnya, senarai nama individu-individu yang terlibat di dalam komplot tersebut termasuk beberapa orang individu yang memegang jawatan tinggi di dalam J-KOM telah diserahkan kepada peguam.

Mohammad Agus pada Khamis mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri.

PALING POPULAR

To Top