Umum

Doktor Malaysia Mogok: lebih 8,000 doktor kontrak akan mengambil cuti kecemasan/sakit bermula 3-5 April.

Kumpulan doktor kerajaan yang merancang mengadakan mogok di seluruh negara bermula 3 hingga 5 April memberi amaran tempoh menunggu lebih lama di hospital dan klinik awam, pada tarikh itu.

“Lebih 8,000 doktor kontrak akan mengadakan mogok dengan mengambil cuti kecemasan/sakit sebagai tanda protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah,” kata Mogok Doktor Malaysia di Instagram.

“Jadi, masa menunggu di hospital dijangka lebih panjang dari biasa. Harap maklum.”

Kumpulan sama juga memberi amaran 3,000 doktor meletakkan jawatan pada 1 April, yang sebelum ini memohon doktor mengambil cuti kecemasan atau sakit bermula 3-5 April, berbanding menganjurkan demonstrasi atau “walkout”.

Jurucakap kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Dr Jamal, memberitahu FMT, doktor berkenaan sudah mengemukakan rungutan kepada Kementerian Kesihatan selama tujuh tahun, namun tidak berhasil.

Selain semua pegawai perubatan kontrak diserap ke perjawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga, kumpulan itu mendesak peningkatan gaji asas, selain pertambahan gaji “on-call” melibatkan pakar perubatan dan pegawai perubatan masing-masing kepada RM100 dan RM40 sejam.

Kumpulan itu juga menggesa KKM segera menyelesaikan isu kekurangan pakar, pegawai perubatan, dan pegawai perubatan siswazah, serta pengurangan tempoh perkhidmatan wajib pegawai perubatan kepada tiga tahun.

Mereka juga mendesak pengurangan “on-call” dan waktu kerja bagi pegawai perubatan dan pegawai dalaman. Katanya, waktu on-call tidak sepatutnya melebihi enam jam sebulan, dengan waktu kerja ditetapkan 60 jam seminggu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menggesa kumpulan itu tidak melakukan mogok, sambil menyatakan ia bukan penyelesaian terbaik melibatkan pelbagai isu dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Hisham berkata, penjagaan kesihatan adalah sektor kritikal dan begitu juga petugas kesihatan. Beliau mengingatkan mogok berkenaan melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.

PALING POPULAR

To Top