Umum

Fujifilm ceburi sektor kesihatan

Fujifilm Holdings Corporation (Fujifilm) merupakan syarikat yang terkenal dalam bidang pengimejan sebelum ini.

Dalam usaha untuk terus berdaya saing, Fujifilm telah mempelbagaikan perniagaanya dengan menceburi sektor kesihatan.

Menurut laporan di Berita Harian, Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragane berkata, sektor itu kini menjadi penyumbang utama operasi Fujifilm sebanyak 32 peratus berbanding pengimejan yang menyumbang sekitar 15 peratus.

Beliau berkata, portfolio sektor kesihatan Fujifilm adalah bidang baru yang mempunyai potensi pertumbuhan dan permintaan yang meningkat naik.

Pada 2001, sektor kesihatan dan material menyumbang sebanyak 46 peratus manakala pengimejan sebanyak 54 peratus.

Tetapi kadar sumbangan itu semakin berubah dengan sektor kesihatan menjadi perniagaan utama kepada Fujifilm.

“Tetapi walaupun sektor perniagaan itu beralih, konsep asal Fujifilm masih sama iaitu membabitkan penyelesaian berdasadkan pengimejan dan nano,” katanya kepada BH baru-baru ini.

Aragane berkata, peralihan itu juga telah meningkatkan pendapatan Fujifilm daripada hanya 1.4 trilion yen pada 2001 kepada 2.9 trilion yen pada Mac 2023.

“Ini membuktikan sektor perniagaan baru mempunyai potensi yang lebih besar dan memberikan pendapatan yang lebih baik kepada kumpulan” katanya.

Namun sebagai syarikat yang sinonim dengan sektor pengimejan, Fujifilm akan tetap meneruskan inovasi dan produk baru dalam sektor itu.

“Begitu juga di Malaysia, produk sektor pengimejan masih lagi menjadi tumpuan disebalik sektor baru yang lain seperti kesihatan, inovasi perniagaan dan materials,” jelasnya.

Antara produk sektor kesihatan yang diusahakan oleh Fujifilm termasuk peralatan sistem kesihatan seperti endoscopy, x-ray dan peralatan ultrasound.

“Tumpuan kumpulan di Malaysia adalah hospital kerajaan dan swasta termasuk klinik dan pengendali berkaitan yang lain,” katanya.

 

 

 

Sumber Berita Harian

PALING POPULAR

To Top