Umum

Kerajaan bersetuju meneruskan PLKN di kem tentera

Foto Facebook Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan

Kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan berbeza.

PLKN 3.0 akan menggalakkan anak muda untuk menjalani latihan disiplin dan ketenteraan di kem tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi tujuan tersebut, sebanyak 13 kem pusat latihan askar Wataniah dengan kapasiti yang mampu menampung seramai 20,000 pelatih akan digunakan bagi sesi latihan untuk tempoh 45 hari.

Perkara ini telah pun diteliti oleh kerajaan pada 2021, dengan Jemaah Menteri meluluskan supaya dikaji semula cara baharu untuk meneruskan PLKN kerana ia kaedah baik untuk memberikan asas ketatanegaraan kepada belia.

Ketika menjawab sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata”Satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ (rangka) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.”

Pertanyaan tersebut dibuat oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan pertimbangkan cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.

Dalam pada itu, pelaksanaan PLKN 3.0 di kem tentera juga dilihat dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang hanya akan membelanjakan sebanyak RM100 juta setahun, jelas Mohamad.

Menurutnya, model PLKN sebelum ini mencecah kos perbelanjaan sehingga RM500 juta setahun.

“Penjimatan ini adalah kerana kita menggunakan kem dan tentera (pengajar dan jurulatih) sendiri,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top