Umum

RM8 bilion dibayar dalam pertikaian melibatkan 1MDB: MOF

Persetujuan bayaran sebanyak RM8.06 bilion (AS$1.8 bilion) yang dibuat dengan syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyelesaikan pertikaian melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bayaran RM8.06 bilion itu dibuat kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB selepas prosiding undang-undang di London.

Hal tersebut sekali gus menamatkan pertikaian kedua-dua pihak di mahkamah berhubung skandal 1MDB.

“Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB telah mencapai penyelesaian berhubung pertikaian dengan IPIC dan Aabar PJS berhubung prosiding undang-undang di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

“Dalam hal ini, IPIC dan Aabar PJS telah bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB.

“Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan manfaat ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan.,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Pada 5 November 2021, Malaysia telah diberi kebenaran oleh mahkamah London untuk meneruskan tindakan terhadap IPIC dan Aabar PJS yang didakwa bersubahat dengan penipuan 1MDB.

Kerajaan Malaysia mencabar penyelesaian antara kedua-dua pihak pada 2017, dengan alasan IPIC adalah milik kerajaan Abu Dhabi dan Aabar PJS menyedari dakwaan penipuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika perjanjian dimeterai.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top