Umum

Jho Low bersembunyi di sebalik taman tema di Shanghai?

Ahli perniagaan Jho Low yang kini dalam buruan berhubung kes penyelewengan dana 1MDB, didakwa dilihat pada gambar yang dikatakan dirakam di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019.

Wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang telah melancarkan kempen untuk membongkar lebih lanjut mengenai Jho Low membuat dakwaan ini selepas bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dipenjarakan.

Menurut klip video wartawan berkenaan di YouTube hari ini yang mengemas kini kempen itu, mereka mendakwa telah menerima banyak maklumat yang menunjukkan bahawa Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bagi saya, gambar ini merakamkan banyak perkara tentang Jho Low… Ia hampir mengecewakan. (Kita) memburu individu ini yang dianggap sebagai dalang pengubahan wang haram, penipuan atau apa sahaja.

“Anda mungkin fikir dia akan bersembunyi seperti James Bond di suatu tempat tetapi sebenarnya dia hanya berkeliaran di sekitar pusat beli-belah, duduk di Shanghai Disneyland dan dia sentiasa mempunyai banyak telefon. Dia memainkannya seperti piano,” kata Hope.

Kedua-dua wartawan itu mendakwa bahawa Jho Low mungkin ditahan di China kerana berisiko membocorkan maklumat memalukan tentang penglibatan China dalam projek pada era Najib di Malaysia.

China telah berulang kali menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi Jho Low.

Wright dan Hope, yang membongkar kisah Jho Low berhubung urusan 1MDB sejak 2015, berkata ahli perniagaan itu kini tinggal di China bersama isteri dan dua anaknya.

“Dia seperti menjalani kehidupan domestik yang pelik di China sementara dia pada masa yang sama cuba merundingkan penyelesaian antarabangsa ini,” kata Hope.

Jho Low didakwa menawarkan untuk membayar kerajaan Malaysia RM1.5 bilion sebagai sebahagian daripada penyelesaian untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya. Putrajaya berkata mereka telah menolak tawaran itu.

Jho Low juga menghadapi beberapa tuduhan jenayah di AS.

Sementara itu, Wright berkata klip video akan datang akan membincangkan rombongan Jho Low sekarang, yang termasuk watak “legenda” yang terlibat dalam urusan 1MDB.

“Siapakah orang yang memudahkannya? Bagaimana dia boleh memindahkan wang? Siapakah pihak yang dia gunakan untuk mengakses sistem perbankan antarabangsa. Dia tidak boleh membuka akaun dan menggunakan dolar AS, euro atau biasa pada masa ini.

“Apakah peranan yang dimainkannya dalam strategi geopolitik China? Adakah dia mendapat sebarang peranan di sana atau adakah dia hanya dianggap individu yang memalukan sekarang?” kata Wright, sebagai sebahagian daripada pratonton untuk klip video akan datang.

PALING POPULAR

To Top