Umum

Keluarga Zahid dikaitkan dengan projek mega bernilai RM1.2 bilion

Meskipun beberapa pemimpin utama Umno berdepan tuduhan rasuah dan berkemungkinan dijatuhkan hukuman penjara, ia tidak menjadi penghalang untuk syarikat-syarikat memeterai urus niaga berskala besar bersama individu yang berkait rapat dengan golongan tersebut, MalaysiaNow mendedahkan.

Antaranya termasuk urus niaga dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion membabitkan beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang diarah membela diri daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram, melibatkan RM31 juta dana milik sebuah yayasan amal.

Projek mega yang akan dilaksanakan oleh Jiankun International Bhd menerusi usaha sama dengan Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) dan Menara Rezeki Properties Sdn Bhd (MRPSB) itu melibatkan pembangunan semula tapak Flat PKNS Jalan Tun Razak di Kampung Baru.

Projek itu bakal menyaksikan pembinaan beberapa menara, termasuk apartmen 52 tingkat di Jalan Tun Razak yang merupakan antara hartanah bernilai tinggi di ibu negara.

Ketiga-tiga syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan Saiful Nizam Mohd Yusoff, menantu kepada Zahid.

Semakan MalaysiaNow mendapati Saiful merupakan pengarah bebas bukan eksekutif Jiankun sejak 1 April tahun lalu.

Sementara itu, Jiankun menerusi makluman di Bursa Malaysia turut menyatakan bahawa Saiful yang juga pengarah urusan MRSB, memiliki 99.999% pegangan saham di syarikat tersebut dan MRPSB.

Beliau memiliki 6,999,999 saham di MRSB dan 999,999 saham MRPSB.

Sementara itu, menurut akaun profil LinkedIn anak sulong kepada Zahid, Nurulhidayah Ahmad Zahid, beliau merupakan pengarah eksekutif MRSB sejak Mei 2017.

Selain daripada isu berkaitan hubungan keluarga, timbul juga persoalan dari aspek nilai apabila GDV projek itu ialah RM1.2 bilion, 27 kali ganda lebih besar berbanding nilai Jiankun iaitu RM43.8 juta berdasarkan nilai sahamnya setakat 31 Januari, 2022.

Projek pembangunan semula tapak Flat PKNS itu juga dinyatakan sebagai projek hartanah terbesar yang akan dilaksanakan Jiankun setakat ini.

Menurut Jiankun menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu akan menerima 70% daripada keuntungan daripada projek terbabit, manakala baki 30% lagi kepada MRSB.

Katanya, pindaan projek itu akan diraih menerusi dana yang diraih secara dalaman, penjanaan dana ekuiti, jualan hasil pembangunan dan pinjaman bank.

“Jumlah dana yang diraih akan ditentukan oleh pengurusan pada peringkat seterusnya selepas mengambil kira paras penggearan, kos faedah dan keperluan dana dalaman untuk operasi perniagaan,” katanya.

Tapak seluas 3.7 ekar itu akan merangkumi 11 lot pegangan pajakan yang terdiri daripada tujuh lot yang mana 252 unit rumah pangsa dimiliki pemilik berbeza dibina.

Sementara itu, tiga lot dimiliki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan baki dimiliki Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sumber: Malaysia Now

PALING POPULAR

To Top