Umum

Kewangan belum kukuh untuk laksana pendapatan asas sejagat, kata Rafizi

Kerajaan tidak dapat melaksanakan inisiatif pendapatan asas sejagat kerana situasi kewangan negara ketika ini belum cukup kukuh, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Rafizi berkata, inisiatif pendapatan asas sejagat yang dicadangkan beberapa pakar ekonomi dan Ahli Parlimen bagi membantu rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, sangat bergantung kepada kedudukan fiskal negara.

“Kita tidak berada di kedudukan fiskal yang kuat, jadi inisiatif pendapatan asas sejagat ketika ini tiada dalam perancangan. Kami tidak mampu menyokong bantuan wang tunai,” katanya kepada pemberita di kementeriannya.

Bawah inisiatif pendapatan asas sejagat, rakyat menerima wang bantuan secara tetap.

Rafizi juga ditanya adakah inisiatif pendapatan rakyat (IPR) adalah pengganti kepada pendapatan asas sejagat.

“IPR adalah inisiatif berbeza. Ia mempunyai sasaran khusus untuk membolehkan golongan berpendapatan paling rendah di negara ini mempunyai aliran pendapatan yang mampan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM750 juta untuk IPR yang bertujuan membantu peserta memperoleh pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan menerusi program keusahawanan.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, kerajaan tidak menolak melaksanakan pendapatan asas sejagat, dan inisiatif itu hanya boleh dipertimbangkan jika kedudukan kewangan negara cukup kuat.

“Secara idealnya, kami mahu menggabungkan bantuan tunai yang ada. Sepanjang proses itu membolehkan kita menilai dengan lebih baik sama ada kita mahu menggunakan pendekatan pendapatan asas sejagat,” katanya.

Sumber: FMT Malaysia

PALING POPULAR

To Top