Umum

PRN: TNB siap siaga pastikan bekalan elektrik stabil pada hari mengundi

Lebih 2,500 pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) diletakkan dalam keadaan tunggu sedia di lapangan dan di bilik gerakan operasi di enam negeri terlibat ketika proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata ia antara langkah persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di semua 3,214 pusat mengundi dan 180 pusat penjumlahan rasmi undi berada dalam keadaan baik.

“TNB telah melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin. Kami juga telah menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi penting,” katanya dalam kenyataan.

Katanya sebanyak 198 lori jana kuasa bergerak dan 144 set jana kuasa mudah alih juga telah ditempatkan sebagai tunggu sedia untuk diatur gerak menyalurkan bekalan elektrik sekiranya diperlukan.

Wan Nazmy berkata situasi bekalan elektrik seluruh negara juga dipantau setiap masa sehingga proses penjumlahan rasmi undi yang dijangka berlanjutan sehingga tengah malam Sabtu atau awal pagi keesokan harinya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, TNB juga mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah bagi mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.

PRN pada Sabtu ini akan melibatkan pengundi di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top