Umum

Mahkamah benarkan pelepasan sementara pasport Syed Saddiq ke Singapura & Taiwan

Gambar Facebook

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pelepasan sementara pasport bekas presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk perjalanannya ke Singapura dan Taiwan.

Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail juga mengarahkan Syed Saddiq yang juga ahli parlimen Muar itu untuk mengembalikan dokumen perjalanan itu pada 18 Jun ini.

Dua lagi hakim bersidang bagi mendengar permohonan itu adalah Azmi Ariffin dan Zaini Mazlan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mengemukakan permohonan dengan dokumen sokongan minggu lalu ingin berada di Singapura pada 18 Mei untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan rakan karibnya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu ingin memenuhi jemputan rakannya, George Yeo Yong-Boon, yang merupakan bekas menteri luar Singapura.

Dalam afidavit itu Syed Saddiq juga menyatakan beliau dijemput Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia untuk melawat Taiwan dari 10 hingga 15 Jun sebagai salah seorang wakil Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Afif Ali berkata pihak pendakwaan tiada bantahan selepas meneliti dokumen permohonan, dan mendapati permohonan itu adalah wajar.

Pada 9 Nov tahun lalu, Syed Saddiq, 31, dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, menyeleweng dana dan pengubahan wang haram.

Beliau memfailkan rayuan pada hari sama.

Terdahulu, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top