Umum

Manifesto BN tak janjikan perangi rasuah, penyelewengan, tiga TPM

Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak menyebut usaha gabungan itu untuk memerangi rasuah dan penyelewengan, jika dapat membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Pada masa sama, manifesto bertemakan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) itu hanya menyatakan BN bertekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

Daripada 99 amal dan usaha yang ditawarkan itu langsung tidak menyebut BN berjanji untuk membanteras rasuah dan penyelewengan yang berlaku.

Keengganan BN memasukkan isu memerangi rasuah dan penyelewengan, mudah difahami kerana mungkin disebabkan ramai pemimpin UMNO dan BN yang terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan.

Ini termasuk, Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri yang masih berdepan pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, selain bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan kes SRC International.

Manifesto itu hanya menyebut BN akan memastikan pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.

Selain itu, manifesto BN juga tidak menyebut akan melantik dua Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi Wilayah Sabah dan Sarawak sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

Pada 23 Oktober lalu, Zahid sendiri memberi jaminan pelantikan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mengisi jawatan TPM akan dimasukkan ke dalam manifesto BN untuk PRU-15.

Zahid berkata jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-15 nanti.

Sebaliknya, manifesto PADU hanya menyatakan usaha membangunkan Sabah dan Sarawak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, serta memastikan pembangunan Semenanjung Malaysia dan Wilayah Sabah dan Sarawak lebih seiring serta setara.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top