Umum

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Kelantan

Orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat lelaki yang berada dalam keadaan terapung di Sungai Kelantan berhampiran Pusat Operasi Sukarelawan Perikanan, Pengkalan Pasir Pekan, Tumpat di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 5 petang.

“Siasatan awal mendapati mayat tersebut ditemukan lengkap berpakaian iaitu baju t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru lusuh,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terapung pada jarak 200 meter dari Pusat Operasi Sukarelawan Perikanan, Pengkalan Pasir Pekan.

“Lelaki tersebut dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan dan bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan. Setakat ini pihak kami masih belum dapat mengesahkan adakah mayat ini mempunyai hubungkait dengan seorang pegawai kerajaan yang mengalami tekanan kerja,” katanya.

Media pada Selasa melaporkan, polis mengesahkan lelaki yang terjatuh dari jambatan Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini pada Isnin adalah seorang pegawai kerajaan yang mengalami tekanan kerja.

Berdasarkan keterangan keluarga, lelaki berusia 46 tahun itu mengalami tekanan kerja sejak setahun lalu.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

PALING POPULAR

To Top