Umum

MKT UMNO mohon Agong beri pengampunan penuh kepada Najib

Majlis Kerja Tertinggi UMNO memohon pertimbangan agar Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertimbangan tersebut selaras dengan kuasa Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

“Majlis Kerja Tertinggi mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil.

“Ia seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata MKT UMNO telah menerima memorandum dari 191 bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden itu, yang disifatkan mempunyai banyak jasa kepada rakyat dan negara.

Jelas beliau lagi, MKT UMNO juga sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Al-Sultan Abdullah beserta memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan UMNO dari 191 bahagian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MKT UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun depan.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

Ini bermakna Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top