Umum

MUDA bergerak solo pada PRN – Syed Saddiq

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memutuskan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed And Rahman berkata keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.

“Selepas berbincang berbahas, berdiskusi, dapat pandangan masyarakat, penyokong, ahli, dan badan bukan kerajaan (NGO), MUDA telah membuat ketetapan yang jelas dan berdasarkan konsensus parti iaitu pada enam PRN yang bakal diadakan nanti, MUDA akan menyertai dan bertanding atas kekuatan parti kita sendiri,” katanya di sini.

Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook parti itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu berkata MUDA akan memberikan komitmen penuh pada PRN akan datang, selain percaya parti itu akan membawa politik baharu dan menolak politik tua.

Keputusan tersebut berkemungkinan menyaksikan parti itu dijangka bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun MUDA menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top