Umum

Nelayan masih menunggu jawapan Anwar selepas kelulusan EIA

Nelayan Pulau Pinang yang bakal terkesan dengan projek penambakan Penang South Islands (PSI) melahirkan rasa kecewa kerana tidak menerima jawapan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum Putrajaya memberikan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) semalam.

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Zakaria Ismail berkata pihaknya masih menunggu jawapan daripada Anwar berhubung projek itu.

“Kami sudah usaha berbagai cara, tetapi masih belum terima jawapan,” katanya ringkas kepada MalaysiaNow.

Seramai lebih 6,000 nelayan akan terkesan dengan projek itu yang membabitkan nelayan daripada Pulau Pinang, selatan Kedah dan utara Perak.

Persatuan itu sebelum ini melahirkan hasrat mahu bertemu dengan Anwar bagi membincangkan projek kontroversi tersebut.

Pihak mereka menulis surat bertarikh 2 Disember lepas meminta pertemuan diadakan bersama Anwar.

Zakaria berkata, susulan kelulusan tersebut pihak nelayan akan mengemukakan rayuan kepada Jabatan Alam Sekitar.

Ini kerana katanya mereka akan berdepan dengan krisis sumber protein sekiranya projek itu diteruskan.

PSI merupakan projek membangunkan tiga pulau buatan manusia meliputi kawasan seluas 17 kilometer persegi di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Isu tersebut menjadi pertikaian antara DAP yang memimpin kerajaan negeri dengan PKR.

Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan (PH)mengadakan pertemuan dengan nelayan pada 2019 selepas diberikan pengampunan diraja.

Beliau ketika itu melahirkan hasrat mahu bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk mendapatkan penjelasan dan mencari penyelesaian berhubung krisis yang dihadapi golongan nelayan.

Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik semasa berkempen untuk pilihan raya lepas menegaskan PKR tidak menyokong usaha itu dan pendirian tersebut turut diambil oleh Nurul Izzah Anwar.

Menurut Bakhtiar, partinya berusaha memujuk DAP dan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan projek berkenaan.

Dalam pada itu, Persatuan Sahabat Alam Malaysia yang merupakan ahli jawatankuasa semakan EIA projek berkenaan turut melahirkan rasa berang dan terkejut berhubung kelulusan itu.

“Kami kecewa kerana kerajaan baru mengabaikan keterjaminan makanan, pemeliharaan alam sekitar dan skala sebenar kesan negatif disebabkan projek penambakan ini.

“Projek penambakan berintensif karbon dan modal bertentangan dengan imperatif perancangan yang memerlukan pembangunan berdaya tahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top