Umum

Penyanyi rap The Fugees bersalah, komplot bersama Jho Low biaya kempen Presiden AS

Juri Mahkamah Persekutuan Washington pada Rabu mensabitkan kesalahan terhadap penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel “Pras” Michel dari kumpulan hip hop The Fugees atas tuduhan jenayah.

Ia selepas dia didapati berkomplot dengan ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan, Jho Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran dua Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Donald Trump.

Memetik laporan Reuters, Michel didakwa atas 10 pertuduhan konspirasi, bertindak sebagai ejen kerajaan asing, mengganggu saksi dan memalsukan rekod kewangan kempen.

Sabitannya itu adalah susulan daripada perbicaraan yang dipenuhi dengan tipu daya politik selain menampilkan saksi berprofil tinggi termasuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio dan bekas Peguam Negara AS, Jeff Sessions.

Dalam perbicaraan tersebut, Michel mengalami pemeriksaan balas yang teruk oleh pasukan pendakwa raya ketika dia memberi keterangan pembelaan.

Jho Low yang turut menghadapi pertuduhan berasingan di New York didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara, 1MDB kini masih bebas.

The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris pada 1996, “The Score.”

Namun, menjelang 2012, menurut pendakwa raya, Michel sangat memerlukan wang tunai dan menemui penyelesaian melalui Jho Low, yang terkenal mengadakan pesta dan membayar sejumlah besar wang kepada selebriti.

Pendakwa raya berkata, Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012 sebagai pertukaran untuk menerima berjuta-juta dolar lagi.

Oleh kerana undang-undang pilihan raya Persekutuan melarang warga asing menderma kepada kempen AS, pendakwa raya berkata, Michel menyembunyikan sumber dana itu.

Michel juga dituduh berusaha meyakinkan Jabatan Kehakiman era Trump untuk menggugurkan penyiasatan sivil dan jenayah terhadap Jho Low berhubung skandal 1MDB dan cuba melobi kerajaan AS bagi pihak China untuk menghantar semula bilionair dan pembangkang China, Guo Wengui ke China.

Ketika di kandang saksi, Michel turut mengakui bahawa dia menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk membayar tiga rakannya untuk menghadiri dua kutipan derma politik untuk kempen Obama pada 2012, tetapi menafikan berbuat demikian atas arahan Jho Low.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top