Umum

PAS umum tukar MB, TMB Kelantan lepas PRN

PAS mengumumkan tawaran cadangan perubahan kepimpinan di Kelantan bagi jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar.

Manakala, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin bagi Terengganu dan Kedah menteri besar yang ada akan dikekalkan sekiranya terus mendapat mandat selepas pilihan raya negeri (PRN) esok.

Takiyuddin berkata keputusan mesyuarat harian PAS mencadangkan untuk menukar kepimpinan bagi jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar di Kelantan.

“Perubahan gabungan menteri besar dan timbalan menteri besar sekarang bagi negeri Kelantan dengan mengemukakan iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat tertakluk kepada mandat rakyat dan ampuni perkenan tuanku Sultan Kelantan.

“Bagi gabungan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan yang akan ditawarkan selepas PRN nanti tidak dinamakan bagi menghormati mandat rakyat dan kuasa mutlak Sultan Kelantan dalam pelantikan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar,” katanya dalam sidang media khas, sebentar tadi.

Menteri besar sementara Kelantan kini disandang oleh Ahmad Yakob (gambar, atas) yang juga calon PAS bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pasir Pekan, manakala timbalannya adalah Mohd Amar Abdullah yang juga penyandang DUN Panchor.

Sementara itu Takiyuddin berkata kenyataannya itu dibuat atas arahan Presiden PAS Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat yang berlangsung di Rusila, Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, PAS akan mengekalkan Ahmad Samsuri Mokhtar dan Muhamamd Sanusi Md Nor sebagai menteri besar di Terengganu dan Kedah tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan negeri masing-masing.

“PAS dengan ini menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada esok hari, Sabtu 12 Ogos, dengan memilih pemimpin yang prihatin, bersih dan berkebajikan dari PAS dan Perikatan Nasional serta berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan dengan aman dan lancar,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top