Umum

Peratusan pengundi awal lebih 90% bagi 6 negeri, PRK Kuala Terengganu

Seramai 72,554 anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata di Kedah, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 96.02%, Terengganu (95.91%), Selangor (95.87%), Pulau Pinang (95.01%), Negeri Sembilan (94.05%) dan Kelantan (93.90%).

Sementara itu, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, seramai 1,286 orang pengundi atau 95.47% anggota tentera dan pasangan serta polis telah mengundi awal.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta PRK Kuala Terengganu dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal berlangsung hari ini bermula 8 pagi.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top