Umum

Tiada laporan 3R diterima sepanjang PRN – Ayob Khan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu raja, agama dan kaum (3R) sepanjang tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkembangan tersebut merupakan satu petanda baik bagi memastikan PRN di seluruh negara berlangsung dengan aman.

Beliau berkata, situasi baik yang dicapai itu ekoran amaran keras yang telah diberikan PDRM sebelum ini, selain titah daripada institusi diraja yang tidak mahu isu 3R dimainkan semasa berkempen.

“Alhamdulillah, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu 3R sepanjang kempen PRN kali ini.

“PDRM amat berharap perkembangan baik ini dapat diteruskan sehingga habis hari pengundian dan sehingga hari-hari seterusnya selepas pilihan raya.

“Dalam masa yang sama, PDRM ingin memberi amaran kepada semua pihak agar tidak melakukan sebarang eksploitasi dan provokasi semasa berkempen,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top