Umum

Perbicaraan kes rasuah Zahid Hamidi dijadualkan semula April ini

Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu pada sebutan kes itu yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 10 hingga 13 April, 15-18 Mei, 12-15 Jun, 24-27 Julai dan Ogos iaitu pada 1-3, 7-10 dan 21-24.

Terdahulu, Raja Rozela memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan terdapat penambahan tarikh baharu.

“Tarikh (tambahan) yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah 12 hingga 15 Jun dan 24 hingga 27 Julai disusuli pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24 Ogos, jadi tarikh yang ditetapkan pada bulan April dan Mei dikekalkan,” kata Raja Rozela.

Hisyam kemudian mengesahkan perkara berkenaan pada prosiding membela diri kes Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid, 70, yang memakai sut berwarna hitam tiba di mahkamah pada 8.45 pagi.

Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top