Umum

Suami isteri berdepan detik cemas rumah dipecah masuk empat lelaki bersenjata

Seorang pemandu bas dan isterinya berdepan detik cemas apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Nilai dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa suspek memanjat pagar dan masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci serta mengacukan parang kepada isterinya, 46, yang sedang menggosok baju di sebuah bilik kira-kira pada 6 pagi.

“Suspek seterusnya meminta si isteri menyerahkan barang kemas yang dipakainya sebelum dia dan ahli keluarga lain ditempatkan di sebuah bilik sementara suspek menggeledah rumah tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati wang tunai sebanyak RM9,500 hilang.

“Kesemua suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Proton Waja dan kerugian akibat kejadian dianggarkan berjumlah RM30,000. Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dengan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata polis kini sedang mempergiatkan usaha mengesan individu terlibat selain meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk melaporkan ke balai polis terdekat atau menghubungi talian 06-7904222.

Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan memastikan kediaman dikunci dengan rapi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top