Umum

PH jangan hina penjawat awam – Radzi Jidin

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin menasihatkan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menghina penjawat awam dengan dakwaan menyatakan sektor berkenaan telah lapuk atau tepu dan amat-amat perlu direformasikan.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya meluahkan teguran berkenaan selepas membaca artikel tulisan  Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy bertajuk “Ossified public service badly in need of reform”.

 

“Tulisan P Ramasamy mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh orang Melayu adalah punca yang menyebabkan perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

“Beliau seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

“Jadi hujah P Ramasamy ialah perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu, puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu. Penyelesaiannya ialah untuk kerajaan PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pecahkan dominasi tersebut.

“Ini satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu,” katanya dalam Facebook hari ini.

Kelmarin, Ramasamy dilaporkan menggesa Anwar supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Radzi menyatakan beliau tidak terlalu terkejut dengan kenyataan P Ramasamy.

“Itulah suara hati DAP yang kita tahu amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu. Apabila DAP menguasai kerajaan, sudah tentulah usaha untuk memecahkan dominasi ini menjadi tumpuan utama mereka.

“Perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air yang tercinta ini,” katanya.

PALING POPULAR

To Top