Umum

PKR ditempelak tuntut lebih banyak kerusi, rundingan PH-BN berdepan masalah

Umno mempersoalkan usaha sekutunya PKR untuk bertanding lebih banyak kerusi di Terengganu, dalam apa yang dilihat mencerminkan situasi rundingan kerusi antara dua bekas musuh politik itu di negeri lain.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata PKR harus “ukur baju di badan sendiri” apabila parti itu membuat tuntutan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Berapa cawangan PKR ada? Siapa tokoh-tokoh dia?” soal bekas menteri besar Terengganu itu kepada wartawan semalam.

Memetik contoh, Ahmad berkata PKR antara lain mahu bertanding di Jabi, di mana Umno kalah tipis kepada PAS dengan 55 undi pada pilihan raya 2018. 

Beliau berkata PKR tidak boleh menganggap hanya kerana mempunyai 300 ahli di sana, ia berpeluang memenangi kerusi itu.

“Mana boleh macam tu? Orang Umno setuju tak? Formula tu tak betul. Nak, nak semua. Jangan glamor nak je. Tunjuk kekuatan dia, berapa cawangan dia ada, berapa ahli dia ada?” katanya.

Sumber dalaman Umno memberitahu MalaysiaNow kenyataan Ahmad itu hanyalah sebahagian daripada masalah yang lebih besar dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam memuktamadkan pembahagian kerusi. 

Kedua-dua pakatan itu bersetuju untuk tidak bertembung antara satu sama lain di enam negeri di mana PRN akan diadakan tidak lama lagi. 

“PH memberitahu perkara yang sama kepada Umno di Selangor. Umno menuntut beberapa kerusi yang sudah lama menjadi kubu PH, tetapi setakat ini PH menyuruh mereka jangan berangan.” 

Sumber itu, yang biasa dengan perbincangan kerusi Umno dan PH, berkata Umno tidak gembira diturunkan hanya di kerusi majoriti Melayu, di mana berkemungkinan akan dikalahkan sekali lagi oleh Perikatan Nasional (PN).

“Ia mencari sekurang-kurangnya beberapa kerusi separa bandar dan bandar, dengan harapan PH boleh mengorbankan kerusi boleh menang mereka supaya BN boleh bersuara dalam pentadbiran negeri sekiranya PH dikekalkan,” tambah sumber itu.

Meskipun pemimpin tertinggi PH dan BN berkata rundingan kerusi berjalan lancar, namun belum ada hasil perbincangan yang konkrit antara mereka.

Setakat minggu lepas, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang mengetuai rundingan dengan Umno, membisu mengenai jumlah itu.

“Tiada komen mengenai butiran tetapi perbincangan berjalan lancar,” katanya dipetik sebagai berkata pada Khamis, selepas keluar daripada perbincangan tiga jam dengan pemimpin Umno yang turut dihadiri Ahmad.

Pilihan raya 2018, berkisarkan kepada skandal 1MDB yang menyebabkan BN kalah teruk di peringkat Persekutuan, menyaksikan parti PH menunjukkan prestasi terbaik mereka, dengan PKR memenangi separuh daripada 56 kerusi, diikuti DAP (14) dan Amanah (5).

Calon Umno pula menang di empat kerusi majoriti Melayu.

Difahamkan, rundingan kerusi antara Umno dan PH turut menemui jalan buntu di Kedah, negeri penting dan strategik dalam usaha mendapatkan sokongan orang Melayu.

Satu sumber berkata tuntutan PKR dan Amanah untuk mendapatkan lebih banyak kerusi mengganggu rundingan, dengan pemimpin Umno bertegas bahawa mereka harus diberi bahagian yang besar.

“Semua parti tuntut kerusi lebih. Itu adat perundingan.

Saya beritahu kawan-kawan, jangan kita hirau orang nak tuntut lebih, sebab teknik kita pun nak tuntut lebih,” kata Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar.

Sebanyak 36 kerusi di Kedah menjadi tumpuan perbincangan antara PH dan BN.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top