Umum

Tak mustahil k’jaan Anwar tumbang lepas PRN, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membabitkan enam negeri tidak lama lagi mampu menggugat kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya, PRN kali ini amat unik dan boleh menggugat kerajaan pusat jika Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh PAS dan Bersatu mampu memperolehi kemenagan di lima daripada enam negeri.

“Jika kita dapat pertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan tawan Selangor, Negeri Sembilan, insya-Allah kerajaan pusat akan tergugat dan tidak mustahil akan jatuh,” katanya yang dipetik portal Harakah Daily.

Tuan Ibrahim, berkata demikian semasa berucap pada Ijtimak Pilihan raya PAS Pahang di Kompleks Al-Makmur, Kerdau dekat Temerloh, semalam.

Dia bagaimanapun tidak menyentuh mengenai Pulau Pinang dan menjelaskan bagaimana keputusan pilihan raya negeri akan memberi kesan kepada sokongan di Dewan Rakyat.

Keenam-enam negeri berkenaan dijangka mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran DUN di negeri masing-masing mungkin berbeza.

Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mana kala Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Pada majlis itu, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengingatkan para petugas PAS  supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah.

“Tentera Islam akan mendapat pertolongan dari Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh.

“Kalau bukan kerana maksiat tersebut, maka tentera Islam tiada kekuatan yang lebih daripada pihak musuh,” katanya lagi.

Justeru, Tuan Ibrahim meminta ahli jentera pilihan raya parti itu supaya bekerja dengan ikhlas dan sabar ketika berkempen.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top