Umum

Premis proses makanan disyaki punca air sungai berbuih putih dan berbau

Gambar FB LUAS

Sebuah kilang pemprosesan makanan disyaki menyebabkan air berwarna putih berbuih dan berbau di sekitar Sungai Kecil, Kampung Rinching Semenyih pada Selasa.

Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas menerima maklumat mengenai pencemaran di Jambatan Rinching Tengah tersebut, sekitar jam 11 pagi

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, semakan lanjut mendapati pembentukan buih di sungai itu hasil daripada ‘water turbulence’ di kawasan parit berhampiran.

Dalam suatu kenyataan beliau berkata, hasil pensampelan menunjukkan bacaan bagi Chemical Oxygen Demand (COD) dan Biochemical Oxygen Demand (BOD) adalah tinggi manakala Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) pula rendah.

Sehubungan itu, LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) kemudian menuju ke kawasan perindustrian di Bandar Tasik Kesuma yang mendapati sebuah premis terbabit melepaskan efluen ke longkang berdasarkan kesan buih putih dan berbau.

Menurutnya, anggaran jarak lokasi punca pencemaran itu ke Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih adalah 15 kilometer.

Tindakan pantas dan bersepadu agensi penguatkuasaan negeri berjaya memastikan tiada risiko terhadap operasi mana-mana LRA setakat ini.

Ekoran itu, LUAS segera mengarahkan premis itu menghentikan sebarang aktiviti yang menggunakan air dan pelepasan efluen.

Jelas beliau, keadaan air sungai itu kemudian kembali normal dan tiada lagi kesan berwarna putih serta berbuih.

Kesemua pensampelan di titik air pelepasan dalam dan luar premis itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisa lanjut.

Kes siasatan dibuka mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan maksimum RM1 juta dan mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya

PALING POPULAR

To Top