Umum

PLKN dilaksanakan 2 fasa, fasa sekolah dan fasa lepas sekolah

Gambar Hiasan / Kosmo

Kerajaan akan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menerusi 2 fasa, fasa sekolah dan fasa selepas sekolah dengan Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan 4 melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelajar Tingkatan 5 diberi pengecualian menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagaimanpun mereka akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

Menurutnya, sebanyak 90 peratus daripada kandungan latihan Fasa 2 ini berkaitan ketenteraan agar dapat membina jati diri belia yang kuat dan bertenaga.

“Baki 10 peratus daripada kandungan lagi adalah berkaitan tatanegara. Selepas itu, agensi-agensi seperti bomba, polis dan Pertahanan Awam dapat melihat produk modal insan ini sebagai penyediaan kepada guna tenaga belia yang terlatih,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan akan memanfaatkan 13 kem tentera wataniah di seluruh negara untuk pelaksanaan PLKN tersebut termasuk sebuah kem Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Tenaga pelatih akan terdiri daripada anggota tentera sendiri yang dapat menjimatkan kos keseluruhan yang sebelum ini adalah sekitar RM500 juta setahun.

“Manakala kos baharu berdasarkan kertas kerja jawatankuasa adalah tidak melebihi RM100 juta setahun, iaitu sebuah langkah penjimatan yang sangat baik.

“Hasil daripada program PLKN ini, ia akan dapat melahirkan belia yang berkualiti, berdisiplin, cintakan negara dan tersedia untuk memikul tanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.

PALING POPULAR

To Top