Umum

Kecurian REE: Ada bukti bawa mahkamah – Sanusi jawab Saifuddin

Menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Saifuddin Nasution tidak dapat menunjukkan bukti pembabitannya dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Sanusi juga meminta Saifuddin supaya menumpukan terhadap tugasnya menteri dalam negeri dan tidak mempolitikkan isu sebegitu.

“Mana ada bukti. Dia bukan tunjuk bukti dia bina naratif, bina persepsi…

“Apa-apa kes, bukti bawa ke mahkamah,” katanya kepada wartawan pada majlis ‘Santai Petang’ di Gurun, Kedah hari ini.

Sanusi mengulas dakwaan Saifuddin pagi tadi bahawa dia mempunyai lebih banyak bukti dan pendedahan terhadap penyandang kerusi DUN Jeneri itu.

Menteri dalam negeri turut menggesa Sanusi menjelaskan lawatannya ke Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, pada 19 Feb lepas, yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi (REE).

Saifuddin meminta penjelasan itu selepas mendedahkan beberapa gambar lawatan berkenaan.

Selain itu, Saifuddin turut menyoal kekurangan kertas siasatan yang dibuka berkaitan aktiviti perlombongan haram walaupun Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kedah (Md Shumaime Abdul Rahmah) merupakan ahli lembaga penasihat Menteri Besar Incorporated.

Sebelum ini, Sanusi mengancam untuk menyaman Saifuddin kerana mengaitkannya dengan kecurian REE di Sik.

Namun, Saifuddin tetap dengan dakwaannya itu dan pada majlis ceramah malam tadi dia berkata akan membuat pendedahan lanjut mengenai perkara itu.

Pada Selasa, Saifuddin mendedahkan gambar Sanusi bersama seorang warga negara China yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung kes kecurian sumber nadir bumi di Kedah.

Sanusi sebelum ini menafikan mengenali warga China itu tetapi kemudian mengakui pernah bertemu dengannya selepas Saifuddin mendedahkan gambar perjumpaan mereka.

Bagaimanapun, Sanusi berkata dia tidak terbabit urusan perlombongan itu kerana perniagaan warga China berkenaan dengan Pejabat Tanah dan Galian Kedah dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Sanusi memberitahu Malaysiakini , lelaki warga China itu memiliki syarikat tenaga solar yang menjalin usaha sama dengan MBI dan telah berada di Malaysia sebelum dia menjadi menteri besar pada 2020.

Saifuddin pada sidang akhbarnya telah mendedahkan namah salah seorang daripada dua warga China yang sering disebut dalam ucapannya, yang kononnya diambil bekerja oleh MBI untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan unsur nadir bumi.

Salah seorang daripada mereka dikatakan telah ditangkap kerana menceroboh hutan simpan bersama lebih 380 beg bijih nadir bumi manakala seorang lagi telah menghilangkan diri.

Berikutan tuduhan Saifuddin terhadap Sanusi berhubung kes kecurian REE ini, Sanusi pula membuat dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membawa seorang hartawan Indonesia ke Kedah sebelum parlimen dibubarkan pada tahun lepas untuk memohon lombong REE.

Kata Sanusi, dia membenarkan sesiapa saja memohon untuk melombong REE di Kedah, tetapi mereka mesti menggunakan saluran yang betul supaya dapat membawa pulangan hasil kepada kerajaan Kedah dan rakyatnya.

Saifuddin malam tadi mencabar Sanusi supaya membuktikan dakwaannya terhadap Anwar dan ahli perniagaan Indonesia itu.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top