Umum

RUU Keselamatan Siber 2024 dilaksanakan pada suku ke 3 2024

Gambar Parlimen

Pewartaan tarikh kuatkuasa Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 dijadual dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.

Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pewartaan tarikh kuat kuasa rang undang-undang itu hanya boleh dibuat selepas proses penggubalan peraturan siap dan draf diluluskan Jabatan Peguam Negara.

Zaliha turut berkata Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara (Nacsa) sudah mengenal pasti dan sedang menyediakan draf empat peraturan.

“Ia merangkumi Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Penilaian Risiko dan Audit) 2024; dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024.

“Rang undang-undang itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi meyakinkan rakyat bahawa persekitaran siber di negara ini selamat sepenuhnya daripada sebarang bentuk serangan siber,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanyakan bila Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Dewan Rakyat pada 27 Mac lepas meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 bagi meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Negara pada 3 April.

 

 

PALING POPULAR

To Top