Buletin

Saksi mengaku sengaja tak musnahkan laporan asal 1MDB

Bekas ketua audit negara Madinah Mohamad memberitahu mahkamah, dia membuat keputusan untuk tidak memusnahkan salinan asal laporan audit 1MDB kerana mengandungi bukti material mengenai syarikat pelaburan milik negara itu.

Saksi pendakwaan ke-12 itu memberi keterangan lisan semasa perbicaraan mengenai laporan audit 1MDB hari ini terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO syarikat terbabit, Arul Kanda Kandasamy.

Semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, Madinah berkata dia membuat keputusan untuk tidak memusnahkan laporan audit 1MDB dengan tera air “09” selepas pertemuannya dengan juruaudit dari Jabatan Audit Negara (JAN) Nor Salwani Muhammad pada Mac 2017.

Saksi pendakwaan itu berkata Nor Salwani memberitahunya bahawa terdapat dua versi laporan audit 1MDB iaitu salah satunya dengan tera air “09” yang merupakan versi asal yang tidak diubah suai.

Madinah berkata Nor Salwani juga memberitahu, dia menyimpan versi asal laporan tersebut agar ia boleh dilihat sebelum diputuskan sama ada perlu dimusnahkan atau sebaliknya kerana mengandungi maklumat penting mengenai 1MDB.

“Saya merujuk kepada dokumen laporan audit 1MDB bertanda tera air ’09’ dan saya mengesahkan ini adalah laporan audit 1MDB yang telah dimuktamadkan yang ditunjukkan oleh Nor Salwani kepada saya.

“Saya mengesahkan bahawa tera air ’09’ pada setiap halaman laporan menunjukkan bahawa ia adalah laporan kesembilan daripada 10 salinan yang telah dimuktamadkan.

“Saya kemudian membuat keputusan untuk tidak memusnahkan laporan (asal) ini kerana ia mengandungi maklumat material dan bukti mengenai 1MDB,” kata Madinah.

PALING POPULAR

To Top