Umum

Sanusi mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menghasut

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

“Saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah, Yang Arif,” katanya dalam keadaan tenang.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang mengetuai pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya Muhammad Sanusi tidak membuat sebarang komen berhubung kes dihadapinya sehingga kes berkenaan selesai.

Peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Muhammad Sanusi tidak membantah jumlah jaminan itu dan memaklumkan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

“Kami bersetuju dengan jumlah jaminan itu dan untuk makluman mahkamah, anak guam saya ialah ‘care taker’ kerajaan Negeri Kedah dan beliau mengetuai pilihan raya negeri,” kata Shaharudin.

Kedua-dua hakim membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh tidak membuat sebarang komen berhubung kes sehingga kes berkenaan selesai serta menetapkan 4 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Muhammad Sanusi membayar wang jaminan berjumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas selesai prosiding berkenaan.

Selain Ahmad Terrirudin, pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Manoj Kurup dan Datuk Masri Mohd Daud manakala Shaharudin turut dibantu peguam Wan Rohimi Wan Daud.

– Bernama

PALING POPULAR

To Top