Umum

‘Sedia disiasat, ada dokumen satu beg saya bawa’ – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia disiasat dan akan menyerahkan segala dokumen berkaitan kenyataannya berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah kepada polis.

Beliau berkata, penyiasatan atas sesuatu isu merupakan perkara biasa sahaja.

“Biasalah siasat di dunia, siasat di akhirat lagi teruk,” katanya ringkas ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kenyataan beliau yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, rakaman berkaitan kenyataannya kemungkinan akan dilakukan pada sebelah petang Rabu di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman.

“Bukit Aman (polis) datang jumpa, itu biasalah, mereka buat kerja mereka, saya buat kerja saya, adillah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan waktu sebenar rakaman keterangan akan dibuat berikutan perlu mempengerusikan mesyuarat exco terlebih dahulu.

“Saya tak tahu polis nak datang jam berapa, saya perlu hadiri mesyuarat exco dulu, mungkin selepas itu akan dibuat rakaman,” katanya lagi.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi dilihat memasuki kawasan Wisma Darul Aman dengan menaiki kenderaan rasminya pada 10.58 pagi dan dijadualkan mempengerusikan mesyuarat exco pada sebelah pagi.

Muhammad Sanusi secara berseloroh turut memberitahu, beliau turut membawa dokumen berkaitan dalam beg bimbitnya.

“Siasat di dunia ini biasa saja, apa yang saya boleh dedahkan, saya dedahkan. Dokumen ada dalam satu beg saya bawa. Nanti saya fotostat bagi seorang satu salinan. Lawaklah dunia ini,” jelasnya lagi.

Pada Selasa, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin memaklumkan polis akan merakam keterangan Muhammad Sanusi pada Rabu di Alor Setar, berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Rakaman kenyataan itu akan dibuat di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman oleh pegawai penyiasat Bukit Aman.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top