Umum

Serbuan DBKL, 4 premis adakan aktiviti seks dan pelacuran ditutup

Gambar DBKL

Pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu 6 buah premis dan menahan sementara 34 orang wanita warga negara asing.

Dalam satu kenyataan pada hari Jumaat, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan telah melaksakan Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Seks / Pelacuran) di sekitar kawasan Jalan Genting Klang, Prima Setapak, Danau Kota dan Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Dalam operasi yang bermula jam 10 malam hari Rabu dan berakhir jam 2.30pagi (Hari Khamis) 34 wanita warga asing yang telah ditahan disyaki sebagai pekerja dan pelayan seks terdiri daripada 18 warga Vietnam, 9 warga China dan 7 warga Indonesia.

DBKL turut menahan 5 orang lelaki dipercayai penjaga premis warga tempatan dan 7 pelanggan yang hadir ke premis pelacuran berkenaan semasa serbuan dijalankan untuk rekod dokumentasi.

“Melalui risikan dari pasukan penguatkuasa DBKL sebelum ini, didapati terdapat beberapa lokasi premis tumpuan (hotspot) yang menjalankan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak DBKL telah mengenal pasti premis-premis perniagaan yang menawarkan aktiviti seks dan pelacuran melibatkan wanita warga asing dari Vietnam, China dan Indonesia.

Sehubungan itu, 4 buah premis berkaitan dikenakan tindakan penutupan serta merta (sealed) dibawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan 5 notis kompaun dibawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 – Menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran/lesen pihak DBKL.

Sementara itu, DBKL turut membuat tindakan sita terhadap 5 buah premis termasuk 98 pelbagai barangan dan peralatan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kamera litar tertutup (CCTV), monitor, modem, dekoder, kondom, tisu, router, televisyen, gel pelincir dan lain-lain.

“Barangan dan peralatan telah yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Kuala Lumpur untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis,” jelasnya.

“DBKL akan meneruskan dari masa ke semasa dan bekerjasama agensi penguatkuasaan selepas ini dilokasi tumpuan yang lain sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya.

 

 

PALING POPULAR

To Top