Umum

Siti Bainun kekal dipenjara, permohonan tangguh hukuman ditolak

Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun berhubung kes mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella.

Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim, Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Ahmad berkata, mahkamah mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.

“Setelah meneliti affidavit dan hujahan, mahkamah memutuskan isu-isu yang dihujahkan oleh pembelaan tidak dapat menunjukkan alasan keadaan luar biasa.

“Oleh itu, permohonan pemohon untuk gantung hukuman ditolak,” katanya.

Dalam prosiding terdahulu, Ahmad Faiz berhujah bahawa, anak guamnya mempunyai penyakit hempedu selain tahap kesihatannya semakin merudum sejak dimasukkan ke dalam penjara pada 3 Mei lepas.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, tiada laporan terperinci yang menyatakan tahap kesihatan Siti Bainun semakin merosot.

Pada 3 Mei lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Wanita itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman tersebut.

Izralizam menjatuhi hukuman itu selepas mendapati wanita berkenaan bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada prosiding hari ini, Siti Bainun turut diwakili peguam, Mohammad Farhan Maaruf, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

Turut kelihatan di galeri awam mengikuti prosiding hari ini ialah keluarga wanita itu termasuk ibunya. — Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top