Umum

Sultan Selangor perkenan bubar Dun Selangor 23 Jun

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara rasmi pada 23 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengumumkan pengisytiharan pembubaran berkenaan.

Istiadat Pengisytiharan Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah itu diadakan secara ringkas hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.

Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim; dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Pada 26 Jun 2018, DUN Selangor yang diteraju Pakatan Harapan (PH) kali pertama bersidang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Selangor dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal memerintah Selangor dengan memperoleh majoriti dua pertiga dengan menang 51 daripada 56 kerusi DUN dalam PRU-14.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 11 Mei 2018 sebelum dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PH kemudiannya menamakan Amirudin yang sebelumnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 dan mengangkat sumpah jawatan pada 19 Jun 2018.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top