Umum

Pelabur asing jual saham sembilan minggu berturut-turut

Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut di Bursa Malaysia, dengan aliran keluar asing bersih berkurangan kepada RM189.4 juta berbanding RM443.8 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 16 Jun 2023, firma penyelidikan itu berkata pelabur asing adalah penjual bersih pada sepanjang minggu terbabit kecuali pada hari Isnin apabila mereka memilih kaunter seperti Maybank (RM17.7 juta), RHB Bank (RM8.6 juta) dan YTL Corporation (RM8.5 juta).

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan dan logistik (RM103.9 juta), pembinaan (RM28.4 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM14.3 juta).

Dalam pada itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM141.4 juta), perladangan (RM60.1 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (RM50.4 juta).

Sebaliknya, MIDF Research berkata pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti Asia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan belian bersih sebanyak AS$3.04 bilion.

“Satu-satunya negara yang mencatatkan aliran keluar ialah Indonesia, Thailand dan Malaysia,” katanya.

Menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM81.2 juta.

Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 18 daripada 24 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM3.20 bilion.

Pada masa sama, peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut selepas membeli RM108.3 juta saham, dengan jumlah belian bersih setakat ini sebanyak RM418.2 juta.

Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit (13.7 peratus), institusi tempatan (15.1 peratus) dan warga asing (46.5 peratus).

-BERNAMA

PALING POPULAR

To Top