Umum

Tak sesuai PRU tahun ini – MET Malaysia

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, PRU-15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

“Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15.

“Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir.

“Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya kerana kita banyak bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya pada sesi soal jawab di Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laut 2022/2023 anjuran MET Malaysia secara maya di sini, hari ini.

Forum itu dirasmikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan antara panel yang hadir termasuk Timbalan Pengarah (SME) Seksyen Pakar dan Nasihat Teknikal Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir Dr Asnor Muizan Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Persediaan Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri, Jamil Derus Ahmad.

Dr Mohd Hisham berkata, MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Menurutnya, dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL iaitu dari November 2022 hingga Januari 2023.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top