Umum

Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan – Muhyiddin

 

 

Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju agar semua jentera pilihan raya parti komponen di setiap peringkat bergerak atas nama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN dan Biro Politik Bersatu yang berlangsung sebentar tadi.

 

“Tadi kita ada mesyuarat bincang mengenai persiapan PRU15. Bila masa (PRU15), Wallahualam kita tidak tahu tapi ini bukan baharu dah kita sudah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk menentukan supaya satu, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

 

 “Kita dah bersetuju di peringkat PN agar semua jentera (parti komponen) di semua peringkat bergerak atas nama PN, maknanya gabungan parti-parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR). Itu yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuararat berkenaan.

 

Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

 

Mesyuarat Biro Politik Bersatu turut diadakan selepas itu.

 

Muhyiddin juga berkata, mesyuarat Majlis Presiden PN turut bersetuju untuk meneruskan Program Jelajah Prihatin bagi memberikan penerangan terperinci tentang pandangan gabungan itu berkaitan isu semasa.

 

“Ini termasuklah tentang apa yang kita nak masukkan dalam manifesto kita dan apa yang kita nak sediakan… tumpuan kepada soal isu rakyat, rakyat kita mahu utamakan.

 

“Selain itu, Program Gerai Prihatin juga diteruskan untuk bantu rakyat menghadapi masalah besar seperti kos sara hidup tinggi, inflasi dan sebagainya… kita sudah mulakan di banyak negeri dan kita akan beri tumpuan dalam masa terdekat supaya kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, dapat dibantu,” katanya.

 

Mengenai kedudukan PAS sama ada kekal dalam PN bagi menghadapi PRU15, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara ringkas berkata: “Insya-Allah, kita istiqamah.”

 

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top